Friday, October 30, 2009

SEJARAH PERKEMBANGAN SMKDMY

Semasa mula-mula diasaskan, sekolah ini tidak mempunyai bangunannya sendiri. Pelajar-pelajar menumpang di Sekolah Rendah Inggeris Linggi pada waktu petang. Guru Besar sekolah rendah ini iaitu En. Enoch Daniel dilantik sebagai Penyelia (Supervisor). Pihak Jabatan Pelajaran Negeri tidak melantik pengetua sekolah ini memandangkan sekolah ini tidak mempunyai bangunannys sendiri. Sehingga tahun 1965, murid-murid sekolah ini hanya belajar setakat Tingkatan Tiga sahaja. Murid-murid yang lulus Lower Certificate of Education (LCE) dan berkemampuan, meneruskan pelajaran mereka di tingkatan Empat di Port Dickson atau Seremban.

Bangunan sekolah ini didirikan pada tahun 1966 bersebelahan dengan Sekolah Rendah Inggeris Linggi dan mula diduduki pada awal tahun 1967, iaitu terdiri daripada dua blok bangunan dua tingkat yang mengandungi 11 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, tiga buah bengkel seni perusahaan, sebuah bilik pejabat , sebuah bilik guru dan dua buah tandas murid. Walau bagaimanapun, kemudahan yang ada itu tidak cukup untuk menampung bilangan pelajar yang ada. Sebanyak lima buah kelas terpaksa dijalankan pada waktu petang.

Pada tahun 1972 sekolah ini mendapat bangunan tambahan terdiri daripada satu blok bangunan dua tingkat mengandungi 5 buah bilik darjah, sebuah makmal sains dan sebuah klinik pergigian, sebuah bangunan setingkat mengandungi dua makmal sains dan sebuah lagi ialah bangunan kantin. Ini bermakna sekolah ini telah mempunyai empat buah bilik makmal sains dan 16 buah bilik darjah.

Bilangan murid dalam tahun 1967 berjumlah 600 orang dalam 16 kelas aliran Inggeris dan Melayu dengan bilangan guru seramai 22 orang. Kelas-kelas aliran Inggeris bermula dari Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 5 sementara aliran Melayu sebanyak 3 kelas sahaja dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Bilangan murid semakin meningkat tahun demi tahun hingga mencapai 950 orang pada tahun 1979. Di samping 22 orang guru, sekolah ini mempunyai beberapa orang kakitangan terdiri daripada seorang kerani, seorang pelayan pejabat, seorang pembantu makmal dan empat orang tukang kebun. Pengetua yang pertama di sekolah ini ialah Encik Anthony Yeow Kim Swee.

Pencapaian akademik sekolah ini pada awal penubuhannya boleh dikatakan baik memandangkan lokasinya yang agak jauh dari bandar dan taraf sosio-ekonomi sebahagian besar muridnya yang rendah. Daripada kumpulan pertama murid sebanyak 47 orang yang menduduki peperiksaan MCE pada tahun 1967, dua orang berjaya mendapat gred 1, 9 orang mendapat gred 2 dan 15 orang mendapat gred 3. Ini bermakna peratus kelulusan ialah 55.3%.

Menyentuh perkembangan murid di sekolah ini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat kemerosotan dalam bilangan murid. Pada tahun 1992, bilangan murid adalah sebanyak 631 orang berbanding dengan 660 orang pada tahun 1991. Bilangan ini terus merosot menjadi 608 pada tahun 1993 dan kini pada tahun 2009, bilangan murid adalah seramai 380 orang. Kemerosotan murid bermula selepas kemuncak bilangan murid teramai iaitu pada tahun 1979 iaitu hampi seribu orang. Faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ini ialah penduduk di sekitar kawasan Linggi semakin berkurangan disebabkan banyak daripada mereka terutama generasi muda, bekerja dan tinggal di luar kawasan Linggi. Selain itu pembinaan sekolah-sekolah menengah dan naik taraf sekolah-sekolah menengah di kawasan berhampiran turut mengurangkan murid di sekolah ini. Ini ditambah pula dengan sebilangan murid memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh, asrama harian biasa dan sekolah-sekolah teknik dan vokasional selepas tamat sekolah rendah dan PMR.

Bilangan guru pada hari ini (2009) adalah seramai 38 orang berbanding 22 orang pada tahun 1967 dan 42 orang pada tahun 1979. Pihak pentadbiran terdiri daripada Pengetua, Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Kini sekolah ini juga mempunyai empat orang Ketua Bidang dalam bidang Kemanusiaan, Bahasa, Matematik dan Sains serta Teknik dan Vokasional.

Thursday, October 29, 2009

SEJARAH PENUBUHAN

Nama ‘Dato’ Muhammad Yusof’ diambil sempena nama seorang tokoh setempat yang telah berusaha dan bertanggungjawab terhadap penubuhan sekolah ini. Beliau ialah Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad, seorang tokoh pendidik yang berpandangan jauh dan menginsafi betapa anak bangsanya yang sedia mundur itu akan terus ketinggalan jika tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Dato’ Haji Muhammad Yusof ialah adik kepada Allahyarham Pendita Za’ba. Beliau dilahirkan pada 17 September 1900 di Batu Kikir, Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir, Kuala Pilah pada tahun 1907. Pada tahun 1908, beliau berpindah ke Sekolah Linggi apabila bapanya berpindah ke tempat asalnya di Kampung Linggi. Pada tahun 1909 beliau meneruskan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar hingga lulus Senior Cambridge. Atas dorongan R.O. Winstedt, beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan menceburkan diri menjadi pendidik setelah tamat latihan di Maktab Perguruan Melayu Melaka.
Antara jawatan penting yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Nazir Sekolah-sekolah Selangor (1920), Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI) dan kemudian menyambung semula jawatan tersebut setelah tamat Perang Dunia Kedua hingga bersara pada tahun 1951, pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri di Jepun (1943), Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan (1957-1960), Setiausaha Sulit kepada Yang Di Pertuan Agong 1 (1958) dan Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Allahyarham juga telah menubuhkan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor pada tahun 1921 dan terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 1979. Beliau meninggal dunia pada 22 Disember 1980 di Kampung Linggi, N. Sembilan dalam usia 80 tahun.

Walaupun telah bersara dari jawatan, Allahyarham terus bergiat dalam masyarakat setempat di Linggi yang bertujuan untuk memajukan masyarakat setempatnya. Selama beberapa tahun, Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Linggi. Sebagai menghargai ketokohan serta mengenang jasanya terhadap sekolah ini maka pada 21 Ogos 1982 Sekolah Menengah Linggi dengan rasminya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Datuk Muhammad Yusof. Perasmian tersebut telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Mohd Isa bin Dato’ Hj. Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan itu nama Allahyarham telah diabadikan di sekolah ini.

Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof mula diasaskan pada tahun 1960 dan dikenali dengan nama Sekolah Menegah Inggeris Linggi. Penubuhan sekolah ini adalah hasil inisiatif dan usaha Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad.

Sebelum penubuhan sekolah ini, murid-murid yang tamat Darjah Enam di Sekolah Rendah Inggeris Linggi terpaksa meneruskan pengajian mereka di sekolah menengah sama ada di Bandar Port Dickson atau Seremban. Kedua-dua bandar ini terletak lebih 35 km dari Linggi. Disebabkan kesukaran kenderaan dan masalah ekonomi, hanya segelintir sahaja daripada murid-murid ini yang dapat meneruskan pelajaran mereka di sekolah menengah. Sebahagian besar yang lain terpaksa menamatkan persekolah mereka setakat darjah enam sahaja.
Menyedari kerugian kepada anak bangsanya, Dato’ Muhamad Yusof telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan menubuhkan sebuah sekolah menengah di Linggi. Beliau telah mendapat jasa baik Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu iaitu Encik Hamdan Sheikh Tahir yang juga merupakan bekas muridnya untuk menyegerakan penubuhan sekolah ini. Dengan tertubuhnya sekolah ini, masalah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah menengah telah dapat diatasi. Sekolah Menengah Inggeris yang baru ditubuhkan itu belum mempunyai bangunan sendiri tetapi hanya menumpang di bangunan Sekolah Rendah Inggeris dan dijalankan pada sebelah petang. Sekolah ini dinamakan Linggi Lower Secondry English School.

Perubahan terhadap Dasar Pendidikan Negara pada tahun 1964 telah juga membawa perubahan besar kepada sekolah ini. Dengan pemansuhan peperiksaan masuk ke sekolah menengah dan pengenalan sistem pelajaran komprenhensif, lebih banyak pelajar memasuki sekolah menengah. Pada tahun 1965, sebuah kelas Tingkatan Satu aliran Melayu telah dimulakan disamping meneruskan seperti biasa dua kelas Tingkatan Satu aliran Inggeris dan dua kelas Peralihan (Remove Classes). Pada tahun itu juga satu lagi perubahan besar telah berlaku di sekolah ini dengan pembukaan sebuah kelas Tingkatan Empat. Ini bermakna sekolah ini telah bertukar dari Sekolah Menengah Rendah kepada sebuah Sekolah Menengah sepenuhnya. Mulai dari tahun itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Linggi.
Pada awal tahun 1967 Sekolah Menengah Linggi telah mempunyai bangunannya sendiri seperti yang ada sekarang. Pada tahun itu juga kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Pada tahun 1968, kumpulan pertama pelajar aliran Melayu meneruskan pelajaran mereka ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Rantau apabila sekolah tersebut siap dibina dan diduduki.

Sejak mula ditubuhkan sehingga tahun 1965, pelajar-pelajar di sekolah ini bukan sahaja datang dari kawasan sekitar Linggi, tetapi juga dari kawasan meliputi 25 km sekelilingnya. Ini termasuklah dari arah utara dari Rantau, Siliau dan ladang-ladang sekitarnya hingga ke Kombok dan Seremban Estate. Dari arah barat termasuklah Pasir Panjang dan sua Betong, dari arah Selatan dari Lubok Cina dan dari arah timur dari Kundor hingga ke Pedas dan Pilin. Hanya setelah penubuhan sekolah-sekolah menengah di Rantau, Pasir Panjang dan Lubuk Cina bilangan murid sekolah ini berkurangan.
Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof ini terletak di satu kawasan seluas 13 ekar di kampung Linggi. Kampung Linggi sendiri adalah merupakan sebuah kawasan pedalaman daerah Port Dickson. Di samping sebuah pekan kecil Linggi, terdapat tiga buah kampung utama iaitu Kampung Pengkalan Durian, Kampung Linggi dan Kampung Permatang Pasir. Kawasan Linggi ini dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Getah juga menjadi sumber pendapatan utama penduduk di kampung-kampung tersebut. Maka tidak hairanlah jika 80% daripada murid-murid di sekolah ini terdiri daripada anak penoreh getah.