Thursday, October 29, 2009

SEJARAH PENUBUHAN

Nama ‘Dato’ Muhammad Yusof’ diambil sempena nama seorang tokoh setempat yang telah berusaha dan bertanggungjawab terhadap penubuhan sekolah ini. Beliau ialah Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad, seorang tokoh pendidik yang berpandangan jauh dan menginsafi betapa anak bangsanya yang sedia mundur itu akan terus ketinggalan jika tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Dato’ Haji Muhammad Yusof ialah adik kepada Allahyarham Pendita Za’ba. Beliau dilahirkan pada 17 September 1900 di Batu Kikir, Kuala Pilah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir, Kuala Pilah pada tahun 1907. Pada tahun 1908, beliau berpindah ke Sekolah Linggi apabila bapanya berpindah ke tempat asalnya di Kampung Linggi. Pada tahun 1909 beliau meneruskan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar hingga lulus Senior Cambridge. Atas dorongan R.O. Winstedt, beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan menceburkan diri menjadi pendidik setelah tamat latihan di Maktab Perguruan Melayu Melaka.
Antara jawatan penting yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Nazir Sekolah-sekolah Selangor (1920), Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI) dan kemudian menyambung semula jawatan tersebut setelah tamat Perang Dunia Kedua hingga bersara pada tahun 1951, pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri di Jepun (1943), Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan (1957-1960), Setiausaha Sulit kepada Yang Di Pertuan Agong 1 (1958) dan Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Allahyarham juga telah menubuhkan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor pada tahun 1921 dan terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 1979. Beliau meninggal dunia pada 22 Disember 1980 di Kampung Linggi, N. Sembilan dalam usia 80 tahun.

Walaupun telah bersara dari jawatan, Allahyarham terus bergiat dalam masyarakat setempat di Linggi yang bertujuan untuk memajukan masyarakat setempatnya. Selama beberapa tahun, Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Linggi. Sebagai menghargai ketokohan serta mengenang jasanya terhadap sekolah ini maka pada 21 Ogos 1982 Sekolah Menengah Linggi dengan rasminya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Datuk Muhammad Yusof. Perasmian tersebut telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Mohd Isa bin Dato’ Hj. Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan itu nama Allahyarham telah diabadikan di sekolah ini.

Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof mula diasaskan pada tahun 1960 dan dikenali dengan nama Sekolah Menegah Inggeris Linggi. Penubuhan sekolah ini adalah hasil inisiatif dan usaha Allahyarham Dato’ Haji Muhammad Yusof bin Ahmad.

Sebelum penubuhan sekolah ini, murid-murid yang tamat Darjah Enam di Sekolah Rendah Inggeris Linggi terpaksa meneruskan pengajian mereka di sekolah menengah sama ada di Bandar Port Dickson atau Seremban. Kedua-dua bandar ini terletak lebih 35 km dari Linggi. Disebabkan kesukaran kenderaan dan masalah ekonomi, hanya segelintir sahaja daripada murid-murid ini yang dapat meneruskan pelajaran mereka di sekolah menengah. Sebahagian besar yang lain terpaksa menamatkan persekolah mereka setakat darjah enam sahaja.
Menyedari kerugian kepada anak bangsanya, Dato’ Muhamad Yusof telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan menubuhkan sebuah sekolah menengah di Linggi. Beliau telah mendapat jasa baik Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu iaitu Encik Hamdan Sheikh Tahir yang juga merupakan bekas muridnya untuk menyegerakan penubuhan sekolah ini. Dengan tertubuhnya sekolah ini, masalah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah menengah telah dapat diatasi. Sekolah Menengah Inggeris yang baru ditubuhkan itu belum mempunyai bangunan sendiri tetapi hanya menumpang di bangunan Sekolah Rendah Inggeris dan dijalankan pada sebelah petang. Sekolah ini dinamakan Linggi Lower Secondry English School.

Perubahan terhadap Dasar Pendidikan Negara pada tahun 1964 telah juga membawa perubahan besar kepada sekolah ini. Dengan pemansuhan peperiksaan masuk ke sekolah menengah dan pengenalan sistem pelajaran komprenhensif, lebih banyak pelajar memasuki sekolah menengah. Pada tahun 1965, sebuah kelas Tingkatan Satu aliran Melayu telah dimulakan disamping meneruskan seperti biasa dua kelas Tingkatan Satu aliran Inggeris dan dua kelas Peralihan (Remove Classes). Pada tahun itu juga satu lagi perubahan besar telah berlaku di sekolah ini dengan pembukaan sebuah kelas Tingkatan Empat. Ini bermakna sekolah ini telah bertukar dari Sekolah Menengah Rendah kepada sebuah Sekolah Menengah sepenuhnya. Mulai dari tahun itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Linggi.
Pada awal tahun 1967 Sekolah Menengah Linggi telah mempunyai bangunannya sendiri seperti yang ada sekarang. Pada tahun itu juga kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Pada tahun 1968, kumpulan pertama pelajar aliran Melayu meneruskan pelajaran mereka ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Rantau apabila sekolah tersebut siap dibina dan diduduki.

Sejak mula ditubuhkan sehingga tahun 1965, pelajar-pelajar di sekolah ini bukan sahaja datang dari kawasan sekitar Linggi, tetapi juga dari kawasan meliputi 25 km sekelilingnya. Ini termasuklah dari arah utara dari Rantau, Siliau dan ladang-ladang sekitarnya hingga ke Kombok dan Seremban Estate. Dari arah barat termasuklah Pasir Panjang dan sua Betong, dari arah Selatan dari Lubok Cina dan dari arah timur dari Kundor hingga ke Pedas dan Pilin. Hanya setelah penubuhan sekolah-sekolah menengah di Rantau, Pasir Panjang dan Lubuk Cina bilangan murid sekolah ini berkurangan.
Sekolah Menengah Dato’ Muhammad Yusof ini terletak di satu kawasan seluas 13 ekar di kampung Linggi. Kampung Linggi sendiri adalah merupakan sebuah kawasan pedalaman daerah Port Dickson. Di samping sebuah pekan kecil Linggi, terdapat tiga buah kampung utama iaitu Kampung Pengkalan Durian, Kampung Linggi dan Kampung Permatang Pasir. Kawasan Linggi ini dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Getah juga menjadi sumber pendapatan utama penduduk di kampung-kampung tersebut. Maka tidak hairanlah jika 80% daripada murid-murid di sekolah ini terdiri daripada anak penoreh getah.

No comments:

Post a Comment